Popular Posts

Tuesday, March 10, 2009

DEB jadi 'kambing hitam'


SETIAP kali krisis ekonomi, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dijadikan ‘kambing hitam’. Kaum bumiputera didakwa ‘merampas’ hak orang lain sambil mereka yang membuat tuduhan sengaja menutup mata bahawa kaum lain juga mendapat faedah jauh lebih besar sama ada secara langsung atau tidak langsung.


Kewujudan DEB yang dibentuk secara bersama-sama dengan kaum-kaum utama yang lain, sedikit sebanyak berjaya mengurangkan jurang kemiskinan, sekali gus mengelak berlakunya rusuhan kaum akibat pengagihan ekonomi yang tidak adil di negara-negara lain.

Bilangan golongan profesional bumiputera juga semakin meningkat berkat pelaksanaan dasar berkenaan berbanding tahun-tahun sebelum sekali gus mengurangkan jurang perbezaan kekayaan.

Tidak dinafikan bahawa pelaksanaan mungkin boleh diperbaiki dan dimantapkan untuk menjadikannya lebih efektif tetapi ini bukan bermakna DEB merupakan sebuah dasar yang tidak adil. Terdapat juga kuota yang dinikmati oleh bukan bumiputera sehingga mereka menjadi kaya raya. Malah, tidak kurang juga yang menjadikan bumiputera sebagai proksi untuk kepentingan mereka.

Berikut adalah pandangan Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, Tan Sri Sulaiman Mahbob dalam temu bual bersama wartawan Bisnes, AINUL ASNIERA AHSAN dan SARAH NADLIN ROHIM tentang perkembangan semasa DEB.

BOLEH Tan Sri berikan pandangan tentang kritikan pihak-pihak tertentu bahawa DEB tidak lagi sesuai sekarang?

SULAIMAN: DEB dirangka pada tahun 1971 sehingga 1990 untuk tempoh 20 tahun, tetapi hasrat dan matlamatnya juga digunakan dalam menyediakan dasar-dasar pembangunan negara seperti DEB dan dalam pembentukan Misi Nasional. Ini kerana, tugas pertumbuhan dan pengagihan masih belum selesai. Bagi mengurangkan perbezaan ekonomi antara ekonomi maju dan tidak maju, antara bandar dan luar bandar, moden dan tidak moden. Penubuhan DEB bertujuan mengurangkan perbezaan dan mencapai perkembangan yang seimbang dan kini ia diolah semula bagi mengikut konteks semasa.

Apakah maksud perubahan dibuat mengikut konteks semasa?

Sebagai contoh matlamat pemilikan bumiputera sebanyak 30 peratus masih belum tercapai pada tahun 1990. Oleh sebab itu, kerajaan telah melanjutkan syarat tersebut untuk jangka panjang sehingga tahun 2020. Seterusnya dasar membasmi kemiskinan kita juga teruskan hingga sekarang kerana ia merupakan dasar yang murni dan ternyata berhasil apabila paras kemiskinan kini berada pada kurang lima peratus. Sekiranya tiada DEB, kadar kemiskinan negara mungkin akan terus meningkat.

Para pengkritik DEB terus mendesak supaya dasar ini dikaji semula, apa pandangan Tan Sri?

Pada pendapat saya, DEB memang perlu diteruskan kerana mempunyai usaha murni yang ingin dicapai kerajaan tetapi ia perlu diselaraskan mengikut keadaan semasa dan kerajaan telah berbuat demikian. Jadi, tidak timbul soal lapuk atau tidak dasar tersebut kerana membasmi kemiskinan perlu diteruskan sampai bila-bila.

Tadi, Tan Sri melihat dari sudut membasmi kemiskinan, tetapi para pengkritik mempersoalkannya daripada aspek agihan ekonomi. Apa pendapat Tan Sri?

DEB telah meningkatkan pendapatan bumiputera dengan lebih cepat. Misalnya pada tahun 2004 pendapatan purata bumiputera adalah sebanyak RM2,711 setahun tetapi pada tahun 2007 ia telah meningkat sehingga 5.2 peratus kepada RM3,156 setahun. Kaum lain juga tidak ketinggalan kerana turut menyaksikan peningkatan. Pada tahun 2004 pendapatan purata kaum Cina adalah sebanyak RM4,437 setahun dan pada 2007 meningkat sebanyak 3.0 peratus kepada RM4,853 setahun. Purata pendapatan kaum India pada tahun 2004 sebanyak RM3,456 setahun dan pada tahun 2007 meningkat sebanyak 3.2 peratus kepada RM3,799 setahun.

Sekiranya DEB tidak diwujudkan jurang pendapatan akan lebih luas. Pada masa yang sama, pelbagai usaha dijalankan oleh kerajaan untuk memastikan pencapaian pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus, tetapi pada tahun 2004 hanya mencapai 19 peratus dan pada 2006 berada pada paras 19.4 peratus. Manakala pemilikan ekuiti bukan bumiputera pada tahun 2004 adalah sebanyak 40.8 peratus dan pada 2006 sebanyak 43.4 peratus. Oleh itu, dakwaan yang mengatakan DEB membantutkan perkembangan ekonomi bukan bumiputera adalah tidak tepat.

Soalnya kenapa masih kedengaran rasa tidak puas hati?

Itu saya tidak tahu. Saya ingin menegaskan di sini bahawa setiap projek yang kerajaan bantu atau laksana untuk membantu masyarakat miskin akhirnya akan sampai kepada orang kaya juga.

Sebagai contoh projek membaiki kemudahan asas akan diberikan kepada kontraktor dan pembekal barangan mentah, siapa sebenarnya mereka ini? Secara pandangan mata kasar bumiputera hanya menguasai 19.4 peratus sahaja, ini bermakna bukan bumiputera mendapat lebih 81 peratus. Jadi, apa yang kerajaan belanja semuanya akan dapat faedah dan membantu orang miskin.

Sekiranya kerajaan meningkatkan pengeluaran luar bandar, pengeluaran negara juga akan bertambah. Contoh lain yang kita boleh lihat ialah Felda atau Felcra. Selain meningkatkan sektor pertanian, agensi-agensi ini turut membantu anak-anak peneroka mendapat pendidikan tinggi dan apabila anak-anak ini keluar ke pasaran kerja mereka akan pergi ke sektor swasta seperti menjadi peguam atau akauntan. Ini akan membantu meningkatkan kualiti modal insan. Sekiranya tidak ada DEB, semuanya akan berada di takuk lama. Saya ingin tanya aspek DEB yang mana dikatakan salah?

Selain itu, ramai beranggapan DEB tidak lagi sesuai dalam keadaan globalisasi?

Jadi, waktu mana yang sesuai? Adakah tidak sesuai memberikan pendidikan kepada bumiputera, membasmi kemiskinan atau menggalakkan pegangan bumiputera? Yang mana tidak sesuai? Pertama, DEB sudah diubah suai, apa yang perlu dianjakkan telah dianjakkan. Antara instrumen DEB adalah seperti Suruhanjaya Pelaburan Asing (FIC) yang mewajibkan syarikat terbabit mempunyai 30 peratus pegangan bumiputera sebelum syarikat disenaraikan.

Dari segi FIC, kerajaan telah melonggarkan syarat dengan syarikat yang masih tidak akur dengan FIC masih boleh meneruskan perniagaan mereka tanpa sebarang tindakan diambil. Syarat kedua, sekiranya syarikat ingin memasuki pasaran modal mesti mengikut syarat yang ditetapkan kerajaan seperti perlu memiliki had 30 peratus untuk pelabur bumiputera. Selagi mereka hendak meneroka pasaran modal, syarat itu perlu dipatuhi. Pemilik syarikat yang ingin mengembangkan perniagaan dengan menggunakan simpanan sendiri, mereka boleh teruskan. Buat masa ini kita masih mengkaji bagaimana hendak melonggarkan lagi syarat FIC.

Dari segi pekerjaan, banyak juga yang telah berubah sejak DEB diwujudkan. Bilangan profesional bumiputera sudah meningkat dengan peratusan akauntan pada 2005 sebanyak 21.5 peratus dan pada 2007 meningkat kepada 23.5 peratus. Begitu juga dengan profesion yang lain.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri ada menyatakan usaha meliberalisasi DEB secara berperingkat-peringkat, apa pandangan Tan Sri?

Kerajaan telah liberalisasi DEB sejak 1990 lagi. Sebagai contoh, pada tahun 1986 Tun Mahathir Mohamad pernah berkata, sekiranya sebuah syarikat berjaya mengeksport keluaran mereka sehingga melebihi 50 peratus, mereka boleh memegang 100 peratus pemilikan syarikat tersebut dan dasar itu kekal sehingga sekarang. Kemudian kerajaan memperkenalkan status Koridor Raya Multimedia (MSC) yang membenarkan pemilikan kepentingan sehingga 100 peratus.

Mungkinkah tanggapan negatif terhadap DEB timbul kerana penjelasan mengenai dasar itu kurang difahami dan diperhalusi oleh pengkritiknya?

Apa yang penting segala-galanya adalah fakta. Semuanya boleh dilihat dalam Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-9, 2006-2010. Semua fakta adalah jelas. Pendapatan bumiputera meningkat, kalau tidak ada mungkin keadaan kita adalah lebih teruk dan masih berada di luar bandar. DEB dibuat berdasarkan pasaran, tidak timbul masalah merampas hak orang lain. Perkembangan DEB adalah dalam konteks ekonomi berkembang dan diagihkan mengikut keperluan.

Mengapa setiap kali berlaku masalah ekonomi, orang akan menyalahkan DEB?

Apa yang penting kita perlu melihat punca sebenarnya berlaku masalah dan bukan mencari 'kambing hitam' untuk dipersalahkan. Kita lihat sejarah pada tahun 1986 ketika masalah ekonomi yang berlaku berpunca daripada kejatuhan harga komoditi dan eksport negara, sekali gus menjejaskan keupayaan kerajaan.

Pada 1998 krisis disebabkan tekanan ke atas ringgit dan banyak pinjaman tidak berbayar menyebabkan ekonomi negara merudum.

Krisis yang berlaku sekarang pula adalah disebabkan masalah gadai janji, sub prima dan masalah kredit di Amerika Syarikat (AS). Apabila orang ramai mula terjejas dengan apa yang berlaku kepada ekonomi semasa mereka mula menuding jari kepada DEB. Saya tidak nampak instrumen DEB yang mana menyebabkan masalah?. Apa yang saya nampak adalah mereka sendiri tidak produktif tetapi menyalahkan dasar kerajaan. Semua negara mempunyai dasar dan masalah mereka sendiri dan tidak terkecuali di AS.

Jadi maksud Tan Sri, negara-negara lain di dunia turut mempunyai DEB seperti mana di Malaysia?

Negara-negara lain pun ada cuma mereka menggunakan nama lain. Antara negara-negara tersebut ialah AS dan Thailand. Tapi saya tidak tahu mengapa di Malaysia dasar itu sering dipersoalkan. Itu yang saya tidak faham.