Popular Posts

Tuesday, February 10, 2009

Bertindak sebelum gelombang kemarahan bertambah buruk



MASUK bulan ini sudah 10 bulan lebih kes siasatan ke atas Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh menghina Sultan Perak berlalu tanpa apa-apa tindakan.

Ketika itu pelbagai pihak mendesak pihak berkuasa bertindak tegas ke atas Karpal yang dengan sengaja mempertikaikan kuasa Sultan Perak dalam pentadbiran hal ehwal Islam di negeri itu.

Isu itu terus diperdebatkan secara terbuka, tanpa batasan dan rasa hormat ke atas institusi beraja sehingga menjadi sangat perkauman dan tidak sihat dalam sebuah negara berbilang kaum ini.

Pada masa yang sama pelbagai pihak khususnya rakyat kebanyakan membuat desakan berterusan agar tindakan dikenakan ke atas Karpal yang menjadi pencetus kepada isu ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri pada 9 Mei dan 6 Oktober 2008 meminta pejabat Peguam Negara menyegerakan siasatan ke atas pemimpin kontroversi DAP itu.

Bagaimanapun 10 bulan berlalu tanpa apa- apa kecuali beberapa kenyataan ringkas yang 'tidak meyakinkan' dan bertaraf 'melepaskan batuk di tangga' daripada Peguam Negara.

Barangkali kerana tidak ada apa-apa tindakan daripada pihak berkuasa, beberapa hari lalu Karpal membuat 'onar' lagi.

Kali ini beliau mengugut untuk menyaman sultan yang sama kerana tidak berpuas hati dengan kejatuhan kerajaan pakatan pembangkang di Perak.

Setelah menghina, Karpal mahu menyaman pula Sultan Perak. Sekali lagi perbuatan itu menimbulkan kemarahan rakyat yang menjunjung prinsip Rukun Negara yang kedua 'Kesetiaan kepada Raja dan Negara.'

Seperti mana orang Melayu lain, kita juga mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.

Setelah dua kali berturut-turut Sultan Perak dihina dan kali kedua kertas siasatan berhubung kes itu dibuka, adakah wajar pejabat Peguam Negara terus 'berdiam diri.'

Apakah keberanian Karpal ini sedikit sebanyak ada kaitannya dengan sikap Pejabat Peguam Negara sendiri?

Pihak yang terlibat perlu melihat perkara ini sesuatu yang serius demi keselamatan dan keharmonian negara.

Kesannya sangat buruk jika pendekatan berdiam diri terus diambil. Dalam keadaan keyakinan terhadap institusi kehakiman negara diselubungi banyak kontroversi dan persepsi sebelum ini, tidak mustahil rakyat akan terus hilang keyakinan ke atas institusi itu.

Lebih parah lagi apabila institusi beraja yang menjadi paksi kekuatan sesebuah negara raja berperlembagaan sudah tidak lagi dihormati dan dihina secara berterusan.

Pihak berkuasa perlu berbuat sesuatu sebelum gelombang kemarahan ke atas Pengerusi DAP yang semakin besar kelihatannya itu bertukar menjadi lebih buruk.

Dengan lebih 40 laporan polis sudah dibuat di seluruh negara dan demonstrasi membantah perbuatan Karpal mula merebak ke seluruh negara, kes ini sudah menjadi serius.

Sebelum kemarahan rakyat bertukar menjadi api besar menjangkau awan, kerajaan perlu berbuat sesuatu dengan segera untuk meredakannya. Janganlah maraknya nanti membakar segala-galanya

No comments: