Popular Posts

Monday, February 16, 2009

Krisis Perak dedah usaha cabar istana



TANGGAL 6 Februari lalu, adalah ‘polemik’ dan ‘perubahan’ bukan saja berlaku dalam geo-konteks politik di Perak, malah rentetan ‘peristiwa 6 Februari’ itu perlu diperhalusi dalam pelbagai dimensi pengkajian.

Pelbagai konotasi pengajaran mampu dijadikan iktibar kepada sesiapa saja yang berada di puncak kuasa. Selain itu rakyat juga diuji kematangan mereka dalam menghadapi tanggapan yang pelbagai susulan daripada sesuatu peristiwa politik yang berlaku.

Dalam kes peristiwa politik di Perak, tiada siapa menduga bahawa pembangkang yang sebelum ini riang melaungkan satu demi satu ‘fantasi’ untuk membentuk kerajaan pada peringkat Pusat dengan cubaan memujuk Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ‘melompat’ parti, kini dongeng yang dicipta memakan diri.

Pakatan Rakyat yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan saja gagal merealisasikan impian ‘menawan’ Putrajaya, malah sebuah kerajaan negeri pimpinan gabungan pembangkang itu tumbang ke tangan BN, berlandaskan prinsip demokrasi iaitu suara majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Dilema yang berlaku di Perak juga memperlihatkan peranan Sultan sebagai kuasa tertinggi perundangan negeri dan negara juga ada kesannya. Dalam sebuah negara berpaksikan elemen adat tradisi dan pada masa sama mengamalkan aturan politik moden, jelas menunjukkan bahawa masing-masing mempunyai peranan tersendiri.

Dalam konteks Perak, pelantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang baru mewakili BN menggantikan kepemimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, menjadikannya catatan sejarah sebagai Menteri Besar paling singkat hayatnya dalam pentadbiran negeri.

Ini jelas membawa wadah betapa elemen tradisi iaitu Kesultanan Perak sebagai ‘puncak kuasa tertinggi’ serta ‘hakim’ dalam apa saja kemelut politik di dalam negeri adalah signifikan. Dengan kuasa dan pertimbangan serta kebertanggungjawaban, jelas menunjukkan baginda seorang Sultan dan ‘hakim’ yang saksama dalam menghakimi ‘perbicaraan politik’ Perak.

Segala lunas undang-undang Perak dan Perlembagaan negara yang baginda amat arif, dengan pengalaman sebagai bekas Ketua Hakim Negara, tidak sepatutnya timbul sebarang keraguan terhadap kebijaksanaan baginda dalam membuat ‘penghakimannya’.

Junjung kasih ke atas kebijaksanaan Tuanku Sultan itu bukan hanya terbatas kepada ‘siapa menang’ atau ‘kalah’, tetapi pihak bertelingkah perlu rafak sembah akan ‘daulat’ dan ‘bijaksana’ Paduka Seri Sultan membuat keputusan.

Jika wujud pihak yang bertentang pendapat dengan ‘penghakiman’ itu, derhakalah jawabnya dan itu yang ditunjukkan oleh kepemimpinan pembangkang. ‘Sembah derhaka’ yang jelas dicanang bekas Menteri Besar daripada Pas yang mahu mempertahankan ‘jawatan’, dilihat bukan mempertahankan hakikat ‘kuasa’, sebaliknya menggambarkan taksubnya kepada jawatan daripada memikirkan implikasi strategi percaturan politik untuk survival Melayu dan Perak itu sendiri.

Dalam konteks Perak, secara jelas, ‘kontrak politik’ pakatan pembangkang yang dinamakan sebagai ‘Pakatan Rakyat’ itu jelas memberikan Pas hanya ‘jawatan’ sebagai Menteri Besar’. Secara pengamatannya, dengan komposisi ‘kekuatan’, DAP lebih mendominasi pentadbiran negeri.

Selain itu, komposisi demografi politik dalam perspektif persempadanan kawasan pilihan raya bagi DUN Perak juga jelas tidak seimbang dengan ‘Pakatan Pembangkang’ sebagai pentadbir negeri. Dari keseluruhan DUN, pakatan pembangkang jelas hanya menguasai ‘minoriti’ wilayah pilihan raya di Perak, manakala BN sebenarnya menguasai kawasan lebih luas.

Harus diingat, keseluruhan prestasi pada pilihan raya umum lalu, Umno Perak masih mampu bertahan sebagai parti terbesar memenangi DUN Perak dengan 27 kerusi, dan ditambah satu daripada MCA.

Untuk itu jelas bahawa orang Melayu Perak masih memberikan undi mereka untuk memenangkan calon Umno. Soal Pas sebagai kuasa Melayu di Perak jelas gagal diterima. Walaupun pada pilihan raya umum lalu menyaksikan soal undi protes menjadi asas utama BN kecundang, undi protes Melayu tidak berlaku dalam margin besar seperti dilakukan kumpulan pengundi bukan Melayu.

Ini adalah fakta jelas mengapa kawasan Melayu ditandingi BN masih mampu membuahkan kemenangan. Jelas sekali, orang Melayu di Perak masih mengharapkan BN sebagai ‘ketua’ mereka. Namun, Pas gagal ‘berinteraksi’ secara strategik membina keupayaan survival bangsa dan agama, dengan memilih bersama DAP yang menang 18 kerusi DUN pada masa itu.

PKR pula menang tiga daripada tujuh kerusi dimenangi bukan Melayu, dan kini dua daripada tiga Adun Melayu itu sudah menjadi wakil Bebas di DUN. Jika diamati, pakatan pembangkang di Perak selepas perubahan politik dibarisi 21 wakil bukan Melayu, sebenarnya hanya tujuh wakil Melayu dalam pakatan terbabit.

Ketika Pas menerima ‘kontrak politik pakatan’ dengan diberikan jawatan Menteri Besar, secara jelas, bekas Menteri Besar Pas bergantung rapat kepada wakil rakyat yang semuanya bukan Melayu dari DAP yang ‘menang’ di kawasan pemusatan pengundi bandar yang mendapat pengaruh besar dari undi protes bukan Melayu.

Sebab itulah komposisi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak juga dilihat condong kepada ‘kekuasaan’ DAP dan begitu juga PKR yang didominasi bukan Melayu.

Kini, kedudukan Islam juga akan lebih kuat dengan Umno di dalam BN sebagai pemegang ‘kuasa’ berbanding Pas yang hanya memegang ‘jawatan’ semata-mata. Kini walaupun BN diwakili Umno dengan 28 kerusi, dan MCA (satu), manakala tiga wakil Bebas menyatakan sokongan kepada BN, hakikat politik bahawa sejak sekian lama mentadbir, peranan dan pembabitan kaum bukan Melayu dalam pentadbiran jelas tidak pernah diketepikan.

Secara jelas, penduduk Perak perlu menerima dua situasi pembahagian senario politik ‘dua dominasi’, iaitu jika memilih pakatan pembangkang PKR-Pas-DAP terus berkuasa, maka ia akan dikuasai bukan Melayu dengan nisbah terkini 17:7 (bukan Melayu 17, dan Melayu 7) menerusi DAP sebagai kuasa dominan.

BN pula didominasi Melayu dengan Umno sebagai parti teras kuasa dengan kadar nisbah 29:2 (iaitu Melayu dari Umno dan Bebas). Sebarang pilihan pasti diselubungi dogma politik perwakilan kaum yang dilihat tidak seimbang. Nisbah keupayaan ‘kuasa Melayu’ dalam DUN juga jelas berbeza, dengan BN, ‘kuasa politik Melayu’ bernisbah 29:7 atau 4:1 berbanding pakatan pembangkang, di mana BN lebih jelas sokongan Melayu ke atasnya.

Penulis ialah pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)

No comments: