Popular Posts

Monday, February 16, 2009

Notis saman MB tak sah


Notis saman MB tak sah
Oleh Nazura Ngah dan Mohd Feroz Abu Bakar
bhnews@bharian.co.my

DUN tidak boleh perlekeh, pertikai kuasa Zambry

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri tidak perlu hadir ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Rabu ini, kerana notis saman hadir yang diserahkan tidak sah.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata walaupun Speaker DUN Perak, V Sivakumar masih ada kuasa sebagai pengerusinya, kuasa diberikan kepada ahli jawatan-kuasa lain boleh dipertikaikan kerana kebanyakannya adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, jatuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak turut memberi kesan kepada kuasa yang ada pada ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN kerana DUN tidak boleh memperlekeh dan mempertikaikan kuasa Zambry sebagai Menteri Besar.

"Speaker DUN wajar akur dengan arahan dan nasihat Menteri Besar kerana Menteri Besar mempunyai hak dalam pelantikan ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN.

"Oleh itu, jelas pelantikan ahli jawatankuasa sebelum ini tidak lagi sah kerana kerajaan Pakatan Rakyat tidak lagi memerintah Perak walaupun Sivakumar masih sah Speaker DUN Perak," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Semalam, akhbar melaporkan Zambry dan enam Exco kerajaan negeri menerima notis saman hadir ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN, Rabu ini.

Notis itu berikutan aduan Adun Canning (DAP), Wong Kah Woh bahawa majlis angkat sumpah mereka bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN kerana Menteri Besar Ke-10, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin belum meletak jawatan secara rasmi.

Selain Sivakumar, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN dianggotai Husin Din (Pas-Selingsing), Chan Ming Kai (PKR-Simpang Pulai), Ong Boon Piow (DAP-Tebing Tinggi), Loke Chee Yan (DAP-Kepayang) dan Sum Chok Leng (DAP-Bercham), manakala wakil tunggal Barisan Nasional (BN) ialah Datuk Hasbullah Osman (Temenggor).

Wan Junaidi berkata, bagi menyelesaikan isu notis saman hadir itu, adalah wajar Sivakumar berbincang dengan Zambry terutama membabitkan pelantikan ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN.

Di IPOH, Zambry menganggap tindakan Sivakumar mahu membicarakannya dan enam Exconya kerana menghina DUN sebagai tindakan pelik.

Katanya, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak biasanya bermesyuarat untuk membicarakan disiplin Adun ketika DUN bersidang, bukannya tingkah laku Adun di luar dewan atau ketika DUN tidak bersidang.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan mendapatkan nasihat perundangan sebelum memutuskan sama ada menghadiri perbicaraan itu, Rabu ini atau sebaliknya.

"Setahu kami, masalah ini biasanya bila seseorang ahli dewan melakukan tindak-tanduk di dalam Dewan, ketika Dewan sedang bersidang... ini pelik.

"Kalau macam tu, senanglah. Kita (Adun) berjalan di mana-mana, sesiapa boleh panggil kita dan kita dikatakan bertanggungjawab (kerana menghina DUN)," katanya kepada pemberita sebelum memberi taklimat mengenai isu semasa untuk ahli Umno di sini, semalam.

No comments: