Popular Posts

Tuesday, February 10, 2009

Politik tidak wajar pecah belahkan umat

Oleh MOHD. SHAUKI ABDUL MAJID

UMAT Islam negara ini ketika ini mengalami suatu macam kekalutan yang ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin politik di kalangan parti pemerintah dan pembangkang. Secara fitrahnya, ummah sebenarnya menuntut keamanan dan perpaduan bukan persengketaan.

Fitrah semula jadi manusia inginkan kehidupan aman damai kerana di situ letaknya kebahagiaan dan keharmonian. Justeru manusia sangat inginkan perpaduan. Lebih penting, umat Islam inginkan amalan sebenar yang bukan berbaur dengan kepentingan politik atau peribadi.

Umat Islam perlukan kematangan untuk menghadapi situasi ketika ini dengan tenang supaya segala faktor negatif tidak memerangkap dan menjatuhkan kita ke kancah fitnah besar dan kekacauan seperti yang berlaku di zaman Khalifah Ali dan Othman Affan.

Sejarah juga mencatat bagaimana dua sahabat besar iaitu Talhah bin Ubaidillah dan Zubair bin Al-Awwam berdasarkan ijtihadnya sendiri sanggup berkerjasama dengan Ummu Mukminin Aisyah, isteri Nabi SAW untuk memerangi Ali bin Abi Talib. Demikian juga Muawiyah bin Abu Sufian yang mengangkat senjata melawan Ali.

Dalam sejarah dicatatkan bahawa kita sering dikalahkan kerana tidak bersatu. Dalam keadaan berpecah belah itu, pasti saling menyerang dan berusaha menghancurkan satu sama lain.

Perselisihan antara umat Islam bukannya tidak dijelaskan dalam al-Quran. Banyak ayat menjelaskan sebab pendorong konflik dan perselisihan umat Islam. Surah al-Maidah ayat 14 mengatakan, perpecahan terjadi akibat umat Islam kurang pengetahuan.

Al-Quran juga mencatatkan bahawa perselisihan berlaku kerana hasad dengki, cintakan dunia, tidak menggunakan akal yang sihat dan saling tidak mempercayai.

Hakikatnya, politik perebutan kuasa amat mudah menjerumus umat ke kancah persengketaan. Ulama terkenal, Sayyid Muhammad Rashid Ridho dalam kitabnya Al-Kassyaf, memperakui fenomena ini apabila menggariskan satu daripada empat faktor yang melingkari dilema perpecahan umat hingga lahirnya pelbagai 'firqah' atau kelompok dalam Islam adalah berkaitan dengan isu-isu politik dan perebutan kuasa.

Sedar atau tidak, politik hari ini semakin hilang nilai dan etika hingga gejala politik wang, ampu, fitnah dan adu domba semakin berleluasa. Ia sering mengheret umat kepada fenomena permusuhan sesama sendiri.

Sebahagian besar huraian tentang aliran sesat dan bidaah dalam Islam mengatakan, perpecahan umat bermula daripada persoalan politik.

Abu Al-Fath Muhammad bin Abdul Karim Asy-Syahrastani dalam bukunya Al-Milal Wa An-Nihal yang menjadi rujukan penulisan tentang aliran dan mazhab dalam Islam, menggariskan 10 sebab perpecahan umat.

Dua daripadanya terjadi sewaktu Rasullullah masih hidup iaitu penentangan sekitar penulisan wasiat Baginda dan pertentangan berhubung pasukan Usamah yang dihantar ke Syam untuk menahan serangan tentera Rom.

Kedua-keduanya terjadi ketika Rasullulah sedang gering. Menurut Abu Al-Fath Muhammad, perpecahan umat Islam sepanjang sejarah boleh dikategorikan kepada dua.

Pertama kerana persoalan politik, khususnya yang berkaitan dengan persoalan imamah. Kedua, kerana persoalan doktrin yang berkaitan soal keimanan dan teologi.

Kaum Khawarij telah memisahkan diri daripada kelompok Ali kerana politik dan membangunkan teologi sendiri. Mereka kemudiannya menjadi golongan pelampau pertama dalam Islam.

Demikian juga dengan Syiah yang muncul kerana reaksi terhadap Khawarij dan pengikut Muawiyah, termasuk juga golongan yang muncul kerana politik dan teologi seperti mana Khawarij.

Abdullah bin Umar melihat perpecahan dan konflik ini sebagai akibat dorongan kepentingan manusiawi. Sikap beliau yang tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini secara tidak sengaja membangun satu aliran politik tersendiri.

Sikap Abdullah ini diikuti oleh beberapa sahabat lain dan ramai yang bersimpati kepadanya. Abdullah menekankan persatuan dalam Islam dan konflik yang terjadi antara sebahagian tokoh Islam berpunca daripada politik.

Daripada kumpulan dan pemahaman yang pelbagai, lahirlah kumpulan majoriti umat yang dinamakan Ahlus Sunah Wal Jamaah yang diakui sebagai satu-satu kumpulan yang selamat dan berada atas jalan kebenaran Islam. Golongan ini tidak akan terjejas oleh fahaman serpihan seperti Khawarij, Syiah dan Assabiyah yang meletakan kepentingan politik semata-mata.

Dalam konteks ini Allah memerintahkan Rasulullah untuk menyampaikan pernyataan tegas berikut melalui firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah wahai Tuhan kami! Yang mempunyai kerajaan, Engkau yang menganugerahkan kekuasaan bagi siapa yang Engkau kehendaki dan mencabut kekuasaan daripada siapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa yang engkau kehendaki, dan Engkau hinakan siapa yang Engkau kehendaki, dalam tangan-Mu segala kebajikan, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala kebajikan, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu," (Surah Ali-Imran ayat 26).

Dalam konteks ini, setiap selesai solat Rasullulah membaca doa yang hingga kini popular di kalangan umat Islam.

Doa itu bermaksud: Tuhan kami, sesungguhnya tidak ada sesiapa yang dapat menghalang perkara yang telah engkau kurniakan dan tidak ada sesiapa yang boleh mengurniakan apa sahaja yang engkau halangi dan tidak akan memberi manfaat oleh mereka yang berusaha bersungguh-sungguh dari apa yang Allah kehendaki.

PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

No comments: