Popular Posts

Wednesday, February 11, 2009

Nizar bagai membakar diri


Bagi setiap kejadian, akan ada hikmah di sebaliknya dan ia perlu diterima dengan penuh berhikmah juga.

Demikian halnya apabila berlaku tragedi kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak dan Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa di negeri berkenaan kerana gara-gara penyakit dalam PR sendiri.

Siapa menduga kerajaan PR Perak boleh lebur lantaran oleh orang sendiri apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dua dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang dari DAP, mengisytiharkan diri masing-masing sebagai ahli Bebas tetapi menyokong penubuhan kerajaan BN.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin serta barisan Exconya enggan menerima hakikat juga sudah menjadi pengetahuan umum. Malah beliau enggan menurut titah Sultan Perak yang menitahkannya meletakkan jawatan.

Apa yang sedang dilakukan oleh Mohammad Nizar lebih bersifat sengaja menghimpun kayu api membuat unggun bagi membakar diri sendiri dan parti yang diwakili serta juga parti-parti sahabat dalam PR yang berpakat tanpa ikatan rasmi seperti BN.

Tindakannya dilihat sebagai didalangi oleh kalangan yang selama ini telah pun memperalat dan mempergunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar. Sikap beliau akan hanya mengundang rasa tidak hormat dan benci orang ramai kepadanya.

Mereka yang berdemonstrasi atas semangat apa sekali pun akan reda dalam tempoh yang singkat. Mereka yang ditangkap, direman, didakwa dan akhirnya dihukum terpaksa menanggung sendiri apa akibat perbuatan mereka. Maka akan timbullah rasa betapa sia-sia terlibat dalam demonstrasi yang liar dan mengganggu ketenteraman awam.

Sikap dan tindak tanduk Mohammad Nizar juga menyumbang kepada masalah dan gelora yang sedang berlaku dalam PR. Ia bukan sahaja kelihatan retak, tetapi terkopak. Kalau Mohamad Nizar berundur dan mengakui hakikat bahawa rezekinya sebagai Menteri Besar hanya kira-kira 11 bulan, 'tempayan' PR pasti belum pecah terburai seperti sekarang.

Tetapi gara-gara silap perhitungan Mohamad Nizar, bukan sahaja masalah PKR terkopak tetapi semakin rabak apabila kebiadapan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan Perak kini mula melancarkan perang terhadap Penasihat PKR/PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bila ini berlaku, rakyat dapat melihat dan menilai sendiri kualiti sebenar PKR dan PR serta para pemimpinnya.

RAMLI ABDUL HALIM

Kota Bharu, Kelantan

No comments: