Popular Posts

Wednesday, February 11, 2009

Hayati Rukun Negara, jangan ikut budaya biadap


SEMASA bersekolah dulu, setiap hari perhimpunan selepas menyanyikan lagu Negaraku dan lagu negeri sebagai lambang kesetiaan kepada negara dan negeri, kami akan melafazkan ikrar Rukun Negara iaitu lima prinsip rukun yang sepatutnya dipatuhi oleh setiap lapisan rakyat negara ini.

Prinsip Rukun Negara inilah yang menjadikan negara kita aman makmur dan menyatupadukan setiap kaum di negara ini.

Saya minta setiap rakyat menghayati prinsip ini, lebih-lebih lagi prinsip Rukun Negara yang kedua, Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Hentikanlah kemelut politik yang saya fikir akan merugikan negara kita sendiri. Jangan ajar anak-anak kita menjadi manusia biadap dan kurang sopan. Kita diberi akal yang dikurniakan oleh Allah. Gunakanlah sebaik-baiknya. Ingatlah apa yang terjadi adalah kehendak Allah dan kita sebagai manusia dan lebih-lebih lagi beragama Islam patut menerima ketentuan Allah.

Kita sebagai orang tua patut menjadi contoh teladan yang baik untuk generasi muda. Muafakat membawa berkat.

Saya bukanlah di kalangan orang yang cerdik pandai dalam agama dan bukanlah di kalangan orang-orang politik. Saya hanya seorang rakyat Malaysia yang mahu melihat negara ini aman makmur untuk dihuni oleh anak-cucu saya kelak.

Jangan nanti menang sorak, kampung tergadai. Kita orang timur, tinggi dengan semangat kesopanan. Jangan terikut-ikut dengan budaya barat yang memang biadap. Negaraku .... Tanah tumpahnya darahku...

JAMALUDDIN

Kuantan, Pahang

No comments: