Popular Posts

Tuesday, February 10, 2009

Kembalikan kekebalan raja-raja Melayu



SEDIH, malu, hina dan hampa. Empat perkataan yang dapat saya terjemahkan apabila menyaksikan melalui kaca TV apabila orang Melayu Islam merusuh di jalanan selepas menunaikan fardu Jumaat di Kuala kangsar baru-baru ini.

Peristiwa menyayat hati yang memperlihatkan gelagat manusia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam melontarkan batu dengan melemparkan kata-kata nista serta bertakbir terhadap konvoi pemimpin serta kerabat diraja memang tidak boleh dimaafkan.

Orang Melayu mana yang tidak sedih apabila melihat manusia berserban dengan wanita bertudung labuh merusuh di jalan seperti gelagat manusia yang tidak ada moral dan bertamadun. Malah yang lebih mengaibkan ialah peristiwa itu berlaku selepas sembahyang Jumaat.

Apakah tidak ada rasa malu dan silu oleh mereka yang melakukan tindakan biadap itu serta tidakkah ada rasa hina perbuatan yang boleh mencemar kesucian agama Islam itu sendiri? Di manakah perginya budaya serta tatasusila orang Melayu?

Saya ingin bertanya kepada pemimpin-pemimpin Islam Pas dan PKR, apakah sudah cukup puas dan berbangga apabila dapat memperalatkan orang Islam dan Melayu untuk mencapai cita-cita politik masing-masing dengan mengadakan rusuhan? Pernahkah kita terfikir, mengapakah asyik orang Melayu sahaja yang selalu diperkudakan oleh bangsa lain dalam hal-hal yang melibatkan maruah raja-raja dan orang Melayu?

Peristiwa 'kurang ajar' terhadap Sultan Perak oleh pemimpin-pemimpin pembangkang serta peristiwa rusuhan orang Melayu yang disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia sudah cukup untuk pihak kerajaan yang diterajui oleh UMNO, membuat kajian semula untuk mengembalikan kekebalan raja-raja dari aspek perundangan di Malaysia.

Ini secara langsung akan mengembalikan semula kedudukan raja-raja Melayu selaras dengan sistem demokrasi dan raja berperlembagaan yang kita amalkan di negara ini.

Pengumuman Karpal Singh untuk menyaman DYMM Sultan Perak seolah-olah menambahkan lagi luka yang telah ada.

Kerajaan harus melakukan sesuatu dengan menggubal undang-undang untuk meletakkan kembali raja-raja Melayu ke tempat asalnya agar institusi ini tidak diperlekehkan. Jangan sampai nasi menjadi bubur.

Yang amat menghairankan saya, Kenapa Karpal Singh pula yang dilihat kebal daripada undang-undang negara? Apakah keistimewaan Karpal singh sehingga tidak ada apa-apa tindakan diambil terhadapnya?

Ini bukan kali pertama beliau menghina raja-raja Melayu. Kenapa tindakan terhadap Karpal lambat diambil? Sudah lupakah kita dengan rusuhan besar-besaran Hindraf yang hampir memusnahkan kedamaian negara kerana kerajaan lambat bertindak?

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Datuk Dr. Zambry Abduk Kadir atas pelantikan sebagai Menteri Besar Perak ke-11. Sesungguhnya dengan pelantikan ini, telah membuktikan bahawa sudah mula terdapat bibit perubahan dalam UMNO apabila memberi kepercayaan kepada pemimpin generasi kedua yang profesional dan muda.

Besarlah harapan saya agar Datuk dapat menggalasnya dengan penuh rasa tanggungjawab dan profesional. Jadilah rasmi padi. Buktikan orang muda dapat membawa amanah dengan baik. Banyakkan bertindak dan kurangkan bercakap. Gunakan pendekatan turun padang dan jaga dan hormatilah pemimpin tanpa kira sama ada pembangkang atau tidak.

Kepada mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin bertindaklah secara rasional dan profesional. Jangan mengaibkan diri sendiri sebagai orang Melayu dan Islam. Terimalah hakikat dan berpijaklah di bumi yang nyata.

Memang susah untuk menerima kenyataan. Tetapi inilah realiti kehidupan. Jangan sampai rakyat hilang keyakinan terhadap kewarasan pemimpin yang pernah mereka sanjung sebelum ini.

Sesungguhnya episod yang berlaku di Perak tempoh hari, harus dijadikan pengajaran bukan sahaja kepada pemimpin pembangkang malah kepada pemimpin-pemimpin yang sedang berkuasa, untuk menjaga kebajikan serta kemesraan di antara pemimpin agar tidak berlaku salah faham dan sengketa dalaman.

Semoga Kerajaan Negeri Perak di bawah naungan Barisan Nasional akan terus maju dan makmur seperti yang pernah dinikmati rakyat Perak sejak kemerdekaan dahulu lagi.

DR. MOHD. AZAM RAUZAN

Bandar Baru Uda, Johor Bahru

No comments: