Popular Posts

Wednesday, February 11, 2009

Kenapa hanya orang Melayu?



EPISOD kestabilan politik di Perak mendapat liputan meluas media dan menjadi bualan semua lapisan masyarakat di Malaysia. Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang diterajui Menteri Besar (MB) daripada Parti Pas tersungkur akibat terdapat ahlinya berpaling tadah dan keluar dari PR.

Itulah faktanya, Barisan Nasional (BN) diberi tanggungjawab untuk mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri Perak secara rasminya selepas majlis mengangkat sumpah oleh YAB Menteri Besar baru iaitu Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.

Bermula detik pertukaran kerajaan PR kepada BN, penderhakaan, kebiadapan dan tata susila orang Timur di negara ini dilanggar. Keputusan Institusi Raja Berperlembagaan tidak dihormati oleh bekas Menteri Besar, Datuk Sri Mohamad Nizar Jamaluddin, yang sebelum ini dia sendiri diberi perkenan oleh Sultan menerajui Perak.

Pada hari mengangkat sumpah 6 Februari 2009, pihak polis terpaksa bertungkus-lumus mengawal keadaan yang kelam-kabut dan suasana kacau-bilau di sekitar Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Tidak dilihat kelibat pemimpin PR hadir untuk menenangkan para penyokongnya. Bukankah ini yang sepatutnya dilakukan?

Fakta menunjukkan, mereka hanya sibuk dengan sidang media untuk meluahkan rasa tidak puas hati dan bukannya untuk menenangkan penyokong mereka.

Sehinggakan pada hari berkenaan kenderaan rasmi DYTM Raja Muda Perak sendiri dihalang daripada memasuki kawasan istana. Di manakah kita letak Rukun Negara yang kedua (Kesetiaan kepada Raja dan Negara)? Inikah prinsip rakyat negara ini? Selepas 52 tahun merdeka kita lupakan Rukun Negara sendiri.

Paling mendukacitakan ialah, huru hara yang berlaku ditimbulkan oleh orang Melayu sendiri.

Berdasarkan gambar dan video yang ditayangkan oleh media massa, imej orang Melayu sedang berdemonstrasi mengelilingi kenderaan rasmi DYTM Raja Muda Perak boleh dianggap sebagai keterlaluan dan memalukan.

Institusi Raja yang sentiasa menaungi serta mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu tidak dihormati dengan sebaiknya. Tidak kelihatan langsung dalam situasi itu penyokong PR daripada bukan Melayu. Kenapa jadi begitu? Kenapa kita (Melayu) menderhaka?

Saya berpandangan sebagai pemimpin berjiwa besar, janganlah diapi-apikan perasaan rakyat. Tenangkanlah mereka. Mengadap sembah dan pohon keampunan daripada Paduka Seri Sultan Perak daripada keterlanjuran yang telah berlaku sehingga menimbulkan kekacauan.

Semoga hubungan dengan institusi Raja diperkukuhkan dan dipertahankan. Janganlah kerana mengejar kuasa kita lupa akan prinsip Rukun Negara yang menjadi wadah pegangan masyarakat Malaysia kita.

Kepada pemimpin PR ingatlah bahawa kestabilan politik, keamanan negara dan kesejahteraan rakyat adalah lebih utama daripada politik sempit yang mereka amalkan. Fikirlah sejenak:

Pemimpin besar semangat membara,

Tidak sekali akan menderhaka,

Institusi Raja perlu dipelihara,

Itulah tonggak keamanan negara.

MOHD. KHAIRI MD. JAAFAR

Kulim, Kedah

No comments: