Popular Posts

Tuesday, February 10, 2009

Suntikan baru UMNO Perak



Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
pengarang@utusan.com.my


NAJIB Tun Razak bersalaman dengan penyokong UMNO semasa mengadakan sidang media mengenai situasi politik negeri Perak di Ipoh, semalam.

SELEPAS UMNO Perak dikatakan 'lesu' berikutan tidak 'berupaya' menahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang meninggalkan parti Melayu itu untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), hari ini segala-galanya berubah.

Malah secara tiba-tiba, UMNO bukan sahaja berjaya 'menambat' kembali hati bekas Ahli Parlimen Parit itu, tetapi juga menumbangkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat dianggotai DAP, PKR dan Pas, seterusnya menubuhkan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN).

Kebangkitan UMNO itu dilihat mempunyai kaitan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini turut memikul tugas sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak.

Lebih menarik, 'aura' yang ada pada Najib itu telah mendapat sokongan dua bekas Exco kerajaan negeri Pakatan Rakyat - Kapten (B) Mohd. Osman Jailu yang juga ADUN Changkat Jering dan Jamaluddin Mohd. Radzi (ADUN Behrang).

Mengekori langkah Mohd. Osman dan Jamaluddin ialah ADUN Jelapang, Hee Yit Foong daripada DAP yang sebelum ini adalah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak.

Kesediaan Yit Foong menyertai Barisan Nasional (BN), sebenarnya adalah satu bonus.

Jika sebelumnya, Pakatan Rakyat mentadbir negeri setelah mendahului BN dengan 32 kerusi DUN berbanding BN (27), BN kini mempunyai 28 kerusi iaitu jumlah yang sama dimiliki oleh Pakatan Rakyat.

Cuma kelebihan BN ketika ini ialah mendapat sokongan daripada tiga ADUN yang telah mengumumkan keluar daripada parti masing-masing dan kini menjadi wakil rakyat Bebas.

Kelebihan sokongan tiga kerusi ini yang melayakkan BN menubuhkan semula kerajaan negeri setelah 'membiarkannya' bersama Pakatan Rakyat selama kira-kira 10 bulan, iaitu sejak keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 diumumkan Mac tahun lalu.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sendiri setelah mendapat kepastian daripada ADUN-ADUN terbabit mengisytiharkan perkenan baginda membenarkan BN menubuh kerajaan negeri baru.

Kejayaan 'merampas' kembali Perak dalam sekelip mata membuktikan Najib memiliki faktor 'wow', setelah UMNO dan BN berada dalam keadaan 'kurang bermaya' sebelum ini.

Bagaimanapun, UMNO Perak tidak boleh terus bergantung kepada aura yang ada pada Najib seorang. Malah beliau sendiri tentunya tidak mampu berada lama untuk memantau segala-galanya di Perak.

Maka, jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri perlu diserahkan kepada pengganti yang benar-benar berwibawa, setidak-tidaknya mampu menyaingi ketokohan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.

Dan tentunya pelantikan Menteri Besar Perak yang baru, akan memacu masa depan UMNO dan BN ke mercu yang lebih cemerlang.

''Menteri Besar baru mesti cerdik, berwawasan, kerana ilmu menentukan sejauh mana dia dapat merancang prinsip politik yang dibawa," kata Prof. Madya Dr. Mohd. Agus Yusoff.

Menurut penganalisis politik ini lagi, yang juga penting ialah beriman kerana itu akan menjadikann seseorang pemimpin itu bersih, cergas dan tahu tentang amanah serta tanggungjawab.

''Semua unsur ini penting bagi membuktikan sejauh mana UMNO dan BN telah berjaya menunjukkan mereka sedang berubah sebagaimana yang dikehendaki rakyat," ujar beliau.

Dalam hubungan ini, pucuk pimpinan harus berhati-hati membuat keputusan. Silap percaturan, sejarah mungkin berulang, bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Maka menjadi harapan agar Menteri Besar yang bakal diumumkan, dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaik-baik mungkin.

Seorang lagi penganalisis politik tempatan, Dr. Sobri Sudin berkata, Perak mampu muncul sebagai kubu kuat BN sekiranya ciri-ciri pemimpin yang diinginkan oleh rakyat negeri itu diambil kira oleh pucuk pimpinan.

Justeru, perubahan kuasa yang berlaku, wajar dijadikan landasan atau platform untuk 'memujuk' kembali pengundi terutama yang di atas pagar agar bersama-sama kerajaan BN.

Tentu juga, perubahan yang sedang berlaku di Perak ini, akan menjadi pendorong kepada negeri-negeri lain yang kini berada di bawah kuasa pembangkang.

Apa yang penting, beliau perlu memikirkan kaedah bagaimana untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap BN setelah 'pemikiran' mereka 'dijajah' oleh Pakatan Rakyat.

Sekiranya semua pemimpin sedar akan tanggungjawab mereka, tidak keterlaluan jika dikatakan, kebangkitan UMNO Perak akan turut mewarnai senario politik tanah air.

Hakikatnya, tidak siapa boleh mempertikaikan kekuatan UMNO khususnya di Perak. Ini berdasarkan kedudukan kerusi DUN iaitu UMNO menguasai 27 kerusi dan MCA (1).

Cuma, perubahan yang ingin dilakukan itu nanti, perlulah ikhlas dan berpanjangan.

Sebagai rakyat, bukan projek besar atau jawatan tinggi yang diminta. Cuma apa yang diharapkan ialah kerajaan mengambil berat tentang kehidupan dan kebajikan mereka.

Keupayaan ini yang bakal menjadi kayu ukur kepada Menteri Besar yang baru.

PENULIS ialah Ketua Biro Utusan Malaysia, Ipoh.

No comments: